Tuesday, July 29, 2008

SEPI menyepi


Sepi merupakan filem dari hasil buah tangan Kabir Bhatia selepas filem CINTA. Satu yang terlintas di fikiran saya ialah filem ini pasti berbeza dan menyentuh jiwa. Di dalam filem Sepi, penulis skrip sangat bijak sebenarnya dalam mengatur logik antara sastera dan kehidupan seharian rakyat Malaysia sehingga setiap elemen di dalam filem ini dirasakan cukup ramuannya, tidak berlebih-lebih dan yang paling penting inilah kehidupan kita sebenarnya.

Filem sepi merangkumi tiga cerita yang berbeza tetapi terikat dalam satu takdir yang dikaitkan dengan begitu sempurna. Sepi berbicara mengenai perjalanan sebuah harapan, pengorbanan dan sebagainya. Lumrah sebuah kehidupan, jalan menemui kebahagiaan tidak selalunya mudah. Kisah Adam, Sufi dan Imaan, sepi terlebih dulu menjengah hati mereka hingga membuatkan mereka mencari cinta, memilih cinta, dan menggenggam cinta. Sepi mengajar mereka erti cinta dan mungkin mengajar kita juga. Itu sebahagian daripada rempah ratus dalam filem Sepi.

Lakonan Afdlin Shauki, Vanida Imran, Nasya Aziz, Eja, Riezman Khuzaimi, Tony Eusoff, Syed Hussein, Baizura Kahar, Pierre Andre dan semua pelakon tambahan mantap dan membanggakan. Sinematografi yang mengagumkan, jalinan dari satu babak ke satu babak yang indah dan latar penceritaan yang benar-benar membawa pengertian sepi dari kacamata setiap watak yang ditonjolkan.

Jika filem-filem Melayu mahu diterima semula dan mahu dijadikan pilihan tontonan di panggung, filem Sepi adalah jawapan dan menjadi tanda aras filem yang berkualiti. Tetapi sayang, sukar sebenarnya untuk menyalahkan penonton kenapa filem sepi kurang mendapat tempat di hati penonton. Kenapa.... ? bukan salah promosi, promosi mengenai filem ini sudah cukup memenuhi setiap ruang media cetak mahupun media elektronik. Mungkin, pendedahan kita dalam menilai sesuatu kualiti sesebuah filem belum cukup mendalam dan masih belum cukup matang. Tepuk dada tanya minda.

1 comment:

Anonymous said...

dari seorang budak grafik jadi pengkritik filem pulak. hebat ni. tak sangka pulak terre ko bermadah bersastera. budak art katakan. kalo aku budak law suh kritik mesti masuk segala mak nenek syeksen kanun kesalahan hukuman. whatever~ aku memang respek sama kamu.